Rabu, 28 Ogos 2013

Kelebihan Membaca


KELEBIHAN MEMBACA – JADIKAN MEMBACA AMALAN HIDUP KITA



Masih ramai yang kurang berminat untuk membaca. Kebanyakannya menganggap membaca itu sesuatu yang membosankan. Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W adalah iqra’ iaitu menyuruh baginda untuk membaca. Oleh itu, fahamlah kita bahawa betapa pentingnya membaca dalam Islam. Bahan bacaan tidak terhad kepada buku-buku ilmiah semata-mata. Kita boleh memilih sama ada membaca majalah, novel atau pun membaca secara online seperti bacaan di laman web, blog, forum atau sebagainya.

Sebenarnya membaca mempunyai banyak kelebihannya. Tanpa mengira apa-apa bahan bacaan pun ia mempunyai banyak faedah. Antara kelebihan dan faedah apabila suka membaca adalah:

1. Membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan. 
Membaca bahan bacaan berbentuk ilmiah akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan tentang ilmu-ilmu di sekeliling kita. Ilmu pengetahuan ini pasti berguna untuk masa sekarang atau pun di masa hadapan.

2. Membaca adalah satu senaman minda
Dengan membaca kita melakukan satu proses untuk mengaktifkan minda. Ini adalah kerana kita menggunakan sel-sel dalam otak untuk berfikir dan mengaktifkan sel-sel tersebut. Ia membuatkan minda kita menjadi lebih sihat. Senaman minda ini untuk kesihatan minda kita. Kita akan menghadapi hari-hari dengan lebih tenang kerana kita mempunyai minda yang sihat dan dapat berfikir dengan baik. 

3. Membaca memberi kelebihan untuk fokus
Amalan rajin membaca akan membolehkan kita memberi tumpuan dengan sepenuhnya dalam apa sahaja perkara yang dilakukan. Apabila kita dapat fokus, kita tidak akan kelam kabut jika menghadapi sebarang situasi genting ataupun masalah. Kita dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan sudah semestinya kita akan dapat menghadapi masalah itu dengan tenang.

4. Membaca akan meningkatkan memori
Walaupun membaca bukan sejenis permainan, namun ia dapat membantu meregangkan otot-otot memori dalam cara yang sama seperti kita bermain permainan yang menggunakan memori. Ini adalah kerana membaca memerlukan ingatan lebih lanjut tentang apa-apa yang kita telah dibaca. Secara tidak langsung akan meningkatkan kekuatan memori kita. Jika kita tidak menggunakan memori, lama kelamaan memori kita akan menjadi lemah. Permainan menggunakan memori seperti teka silangkata dikatakan boleh meningkatkan daya ingatan dan akan mengurangkan risiko untuk kita nyanyuk di hari tua.

5. Membaca melatih kita menjadi seorang yang berdisiplin
Meningkatkan disiplin dalam diri adalah sukar bagi sesetengah orang. Membaca akan melatih kita untuk menjadi seorang yang berdisiplin. Ini kerana apabila kita selalu membaca kita telah membuatkan masa membaca sesuatu yang kita tahu dan kita mesti lakukan pada masa-masa tertentu. Tapi ada siapa-siapa yang membuat jadual membaca dalam sehari? Kita ada buat ke? Sangat sedikit yang melakukan. Itulah sebabnya apabila kita menambahkan aktiviti membaca dalam jadual seharian dan sentiasa melakukannya kita akan meningkatkan tahap disiplin dalam diri kita. Kita juga mungkin merasa tidak selesa jika tidak membaca pada satu-satu hari, itu bermakna tahap disiplin untuk membaca dalam diri kita sangat tinggi.

6. Membaca akan meningkatkan kreativiti dalam kotak fikiran
Sebenarnya apabila kita rajin membaca ia akan meningkatkan kreativiti dalam kotak fikiran kita. Kita seorang yang rajin membaca tentang kepelbagaian kehidupan dan ini akan memberikan kita inspirasi kepada idea-idea yang baru. Dengan penambahan maklumat-maklumat yang lebih ia akan membantu memajukan bahagian kreatif dalam minda kita, di mana ia menyerap pembaharuan ke dalam proses pemikiran. Seterusnya, kita akan lebih kreatif untuk melakukan sesuatu perkara yang baru dalam hidup kita.

7. Membaca akan mengurangkan rasa bosan
Adakah kita selalu merasa bosan? Biasanya kita akan cepat untuk merasa bosan kerana kita tiada aktiviti untuk dilakukan. Tahukah kita bahawa membaca akan mengurangkan rasa bosan? Jika kita merasa bosan, cuba dapatkan bahan-bahan untuk dibaca, tidak kira dari mana pun sumbernya. Apabila kita membaca sesuatu bacaan, kita mungkin terjumpa sesuatu yang kita minat. Maka, kita akan dapat mengurang rasa bosan dan seterusnya menghilangkan rasa bosan tersebut. Contohnya, kita boleh membaca novel atau artikel.

8. Membaca akan mengurangkan stress atau tekanan
Jika kita selalu merasa tertekan ataupun banyak menghadapi masalah pasti ia akan menyusahkan hidup kita. Apabila kita membaca mungkin kita dapat melupakan seketika masalah kita tersebut atau pun kita boleh membaca sesuatu yang menghiburkan kita, sudah pasti ia akan menghilangkan rasa stres dan tekanan dalam diri yang kita hadapi. Dengan itu, kita dapati bahawa membaca boleh membantu kita keluar dari tekanan dan stres yang mengganggu hidup kita.

9. Membaca akan meningkatkan kemahiran membaca dan penggunaan tatabahasa
Amalan rajin membaca akan meningkatkan skil atau kemahiran membaca dan kemahiran menggunakan tatabahasa dengan betul. Pada permulaannya mungkin agak susah untuk kita mendapat skil membaca tapi lama kelamaan kita akan menemui skil dan rentak membaca dengan baik. Dan seterusnya akan meningkatkan keseronokan kita untuk membaca kerana kita sudah menemui skil dan rentak kita sendiri. Dengan skil dan rentak inilah kita tidak akan cepat merasa bosan malah semakin seronok untuk membaca dan terus membaca.

10. Membaca membantu kita berkomunikasi dengan lebih baik
Membaca dapat membantu kita berkomunikasi dengan lebih baik. Ini adalah kerana dengan banyak pengetahuan yang diperolehi hasil daripada pembacaan kita, kita akan merasa lebih yakin untuk berkomunikasi. Kita dapat menceritakan kepada orang lain apa-apa yang kita telah diketahui dan diperolehi daripada bacaan-bacaan kita , dan dengan itu mengelakkan kita dari berdiam diri sahaja apabila berkomunikasi dengan orang lain. Kita juga akan merasa seronok untuk bercerita dan berkongsi dengan orang lain tentang apa yang kita ketahui.

Sebagai kesimpulan, dapatlah kita diketahui bahawa membaca mempunyai banyak kelebihannya yang tersendiri. Artikel ini hanya mendedahkan sebahagian sahaja dari banyaknya kelebihan-kelebihan membaca. Oleh itu, marilah kita jadikan aktiviti membaca ini sebahagian dari kehidupan seharian kita. Semoga kita mendapat banyak faedah dan manfaat daripadanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan